KUALA NERANG – Kebakaran yang menimpa seorang ibu tunggal di Kampung Tengah, Mukim Kurung Hitam beberapa minggu lalu mendapat simpati Pejabat Zakat Padang Terap apabila turut menghulurkan sumbangan kepadanya itu.
Pegawai Pejabat Zakat Padang Terap, Anuar Hassan berkata, pihaknya sangat bersimpati dengan nasib yang menimpa ibu tunggal itu dengan beberapa anak dan cucunya yang tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran itu.
Katanya, semasa beliau membuat lawatan didapati seluruh rumahnya itu habis musnah dan tiada sebarang peralatan rumah dapat diselamatkan kerana pada masa itu, Aishah Jaafar, 62, berada di rumah anaknya di kawasan berdekatan.
“Pejabat zakat telah meluluskan sumbangan kepada keluarga ini melalui bantuan bencana alam dan jumlahnya akan dimaklumkan kemudian supaya dapat membantu keluarga itu membeli keperluan utama,†katanya.
Sementara itu, Aishah ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana Jabatan Zakat turun melawat keadaan rumahnya yang terbakar.
“Sepanjang waktu ini, kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara berdekatan.
“Saya akan menghimpun wang sumbangan zakat dan orang ramai bagi membeli keperluan utama untuk keluarga,” katanya. – Sinar Harian Online