KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tugas setiap rakyat Malaysia sekarang dalam mengisi makna kemerdekaan negara adalah dengan memastikan negara maju, aman dan makmur.
Beliau berkata sebagai contoh sumbangan ahli akademik dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang menjadi pemangkin kepada kemajuan negara adalah sebahagian daripada pengisian kemerdekaan yang sebenar.
“Mengambil semangat kemerdekaan (sempena bulan kemerdekaan bulan ini), perjuangan kita pada hari ini mungkin tidak sama dengan perjuangan generasi sebelum merdeka yang sanggup mengorbankan nyawa mereka untuk tanah air tercinta.
“Saya pasti matlamat dan impian kita semua adalah sama iaitu untuk melihat Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara yang berdaulat dan berdaya maju,” katanya semasa melancarkan buku High Impact Research Universiti Malaya, di sini, Khamis.
Katanya matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi amat bergantung kepada keupayaan semua dalam menggalas tugas dan amanah.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata universiti sebagai sebuah institusi ilmu memainkan peranan penting menghasilkan kajian-kajian dalam pelbagai bidang yang dapat dimanfaatkan untuk kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya Universiti Malaya yang mendapat peruntukkan sebanyak RM590 juta bagi tahun 2011 hingga 2015 perlu menggiatkan aktiviti penyelidikan berimpak tinggi dan menghasilkan pulangan yang berganda kepada negara.
“Justeru adalah amat penting setiap perancangan dan pelaksanaan aktiviti penyelidikan dibuat dengan sebaik mungkin agar pelaksanaannya dapat memberi impak terbaik, berjaya mengoptimumkan penggunaan semua sumber yang ada dan mengelakkan pembaziran,” katanya.
Muhyiddin yang juga menteri pendidikan berkata hasil penyelidikan yang diperoleh hari ini adalah sesuatu yang akan memberi impak kepada pembangunan bangsa dan negara.
Mengenai High Impact Research, Universiti Malaya beliau berkata pusat penyelidikan itu mempunyai pelbagai prasarana dan peralatan canggih untuk kemudahan para penyelidik menjalankan penyelidikan.
Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua penyelidik dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk bersama-sama memanfaatkan kemudahan berteknologi tinggi yang terdapat di pusat itu.
“Perkongsian seperti ini bukan hanya akan mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih luas sesama penyelidik tetapi apa yang penting adalah memastikan tidak berlaku pembaziran sumber,” katanya.
Buku High Impact Research bertajuk ‘Touch Lives, Impacting Society’ itu mengandungi perkembangan, prestasi dan pencapaian utama pusat penyelidikan itu dalam menjalankan penyelidikan dan kajian pelbagai bidang.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor Universiti Malaya Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin. – BERNAMA