SANDAKAN – Jemaah haji dari Sabah diminta menjaga nama baik negara dengan mematuhi arahan dan panduan Lembaga Tabung Haji dan pihak berkuasa Malaysia serta Arab Saudi.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata selama ini jemaah haji Malaysia memang mendapat pujian dan pengiktirafan daripada pihak berkuasa di tanah suci kerana patuh kepada peraturan, berdisiplin, berbudi bahasa dan tidak menimbulkan masalah.
Katanya pujian dan pengiktirafan itu harus dikekalkan dan pada masa sama mereka juga perlu menjaga kesihatan diri serta keselamatan.
“Jaga nama baik kerajaan negeri, umat Islam Sabah, nama baik negara, nama baik pimpinan negara dan nama baik Tabung Haji.
Jangan ikut cara jemaah haji dari negara lain yang mungkin cuba mendatangkan masalah dengan mengadakan demontrasi,” katanya pada majlis ramah mesra dengan bakal haji daerah Sandakan di sini hari ini.
Pada majlis itu 53 bakal haji dari daerah ini menerima sumbangan wang, beg dan ubat-ubatan daripada sebuah syarikat swasta. – BERNAMA