Kalau nak diikutkan nama Jep Sepahtu antara yang kurang dilanda kontroversi serta cerita-cerita tidak enak.
Mungkin sebab Jep pandai membawa diri, jadi kuranglah kisah hangat mengenai dirinya dikaitkan di mana-mana media cetak mahupun media elektronik.
Namun, begitu baru-baru ini timbul dakwaan mengatakan Jep bersikap sombong dan kurang bergaul dengan rakan artis terutama pelawak-pelawak yang lain.
Si pemilik nama penuh Mohd Nadzri Zainal Abidin, 29, ini juga pelik bagaimana cerita ini boleh timbul sedangkan dia yakin belum pernah menyakitkan hati orang lain sebelum ini.
“Saya tak tahu, kenapa isu ini timbul, adakah ia sengaja ditimbulkan atau cubaan memburuk-burukkan saya, ramai yang tanya saya terutama keluarga, saya mohon kepada individu yang cuba hangatkan isu ini sila berjumpa dengan saya dan kita bincang, macam ‘tak bestlah’ kenapa isu ini semakin menjadi-jadi,” katanya memetik Murai.
Jep juga menyatakan dia tiada masalah untuk bergaul dengan mana-mana pelawak tetapi selepas tamat bekerja dia mengakui lebih gemar buat hal sendiri atau pulang ke kampung halaman di Kulai, Johor.
Jep sudah enam tahun membina nama dalam industri hiburan tempatan selepas menyertai program realiti Raja Lawak bersama-sama rakan seperjuangannya, Shuib dan Mamat.
Kini, hanya Shuib dan Jep meneruskan kegemilangan Sepah dengan menggunakan nama Sepahtu manakala Mamat kini bergelar penyampai radio di Ultra FM. – MYNEWSHUB.MY
Oleh: AUDREY LEE