Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini merupakan Menteri Besar Selangor tanpa sebarang parti didakwa pihak tertentu sebagai telah menyerahkan borang keahlian PAS.
Namun, perkara itu pantas dinafikan oleh parti berkenaan.
Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali mendakwa berita yang kononnya diterbitkan Harakah bahawa Khalid sudah menyerahkan borang penyertaan sebagai palsu dan fitnah.
“Contoh laporan guna nama Harakah yang tidak betul itu ialah kononnya saya telah menerima borang permohonan menjadi ahli PAS daripada Tan Sri Khalid. Ini memang tidak betul dan sangat mengelirukan orang ramai,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily sebentar tadi.
Menurutnya, ekoran tersebarnya laporan Harakah palsu itu melalui media sosial, beliau telah dihubungi oleh pihak media untuk mengulas berita yang tidak betul itu.
“Saya tegaskan di sini bahawa laporan berkenaan bukan daripada Harakah, adalah tidak benar sama sekali yang menggunakan nama Harakah termasuk berita-berita kononnya daripada pemimpin tertinggi PAS yang lain,” tegasnya yang juga Pengerusi Harakah.
Justeru, beliau mengingatkan ahli-ahli dan pendukung PAS agar berwaspada dan tidak perpengaruh dengan laporan palsu yang mengelirukan itu.