Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Kuala Berang, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizam, 12, berasa terkilan dengan tindakan segelintir rakan-rakan sekolah yang gemar mengejek mukanya yang menjadi mangsa simbahan asid bapa kandungnya pada Ogos empat tahun lalu.
Walaupun peristiwa malang itu sudah empat tahun berlalu namun kecacatan kekal pada wajahnya itu menyumbang kepada perkara tersebut yang selalu dialaminya ketika berada di sekolah.
“Tolong jangan jadikan saya sebagai bahan cacian kerana semua yang berlaku ketentuan Allah dan bukan kehendak diri ini, namun saya kuatkan diri bagi mengharungi situasi berkenaan.
“Pedih rasanya hati dan dalam tidak sedar air mata bercucuran apabila sering diejek dengan perkataan ‘muka hodoh’ oleh murid lelaki ketika saya berada di sekolah,” katanya memetik Harian Metro.
Walau bagaimanapun, Dahyatul yang bercita-cita menjadi doktor ini menjadikan segala ejekan tersebut sebagai pembakar semangat buatnya untuk mengapai cita-citanya itu sejak dari kecil lagi.
Dahyatul cedera teruk di bahagian muka selepas disimbah asid oleh bapanya dalam insiden pergaduhan keluarga di Kampung Sekayu yang turut mencederakan ibu, nenek dan adik lelakinya yang berusia tiga tahun pada ketika itu. – MYNEWSHUB.MY
Oleh: JULIANA JOHAR