ARIZONA – Hanya selepas empat tahun kematiannya, barulah mayat seorang warga emas yang telah mereput, ditemui di atas katil di dalam rumahnya yang dipenuhi sampah dan terbiar.
Josephine Pallone, 98, dipercayai meninggal dunia di atas katil pada September 2010.
Anak perempuannya, Janet Pallone Delatorre ketika disoal polis memberitahu dia menjadi panik apabila ibunya meninggal dunia.
“Memandangkan keadaan rumah yang kotor dan dipenuhi timbunan sampah, saya tidak membuat laporan polis kerana bimbang dikatakan saya membunuh ibu saya dengan membiarkannya mati begitu sahaja,’’ katanya.
Mayat Josephine ditemui oleh bekas suami Janet, yang mendapat semula hak ke atas rumah berkenaan selepas Janet gagal membayar ansuran rumah tersebut dengan bank.
Dalam pada itu, cucu Josephine , Nathan berkata dia telah meninggalkan rumah tersebut empat tahun lalu untuk menyambung pengajian di universiti dan dimaklumkan oleh ibunya bahawa mayat neneknya itu akan dikebumikan bersebelahan kubur datuknya di Chicago.
Polis kini menyiasat dari pelbagai sudut untuk mengetahui punca kematian dan bila mangsa meninggal dunia.