HARI ini ada cakap-cakap dari sumber dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mungkin digugurkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.
Sumber dalaman itu menyebut Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok-PKR Dr Idris Ahmad sebagai calon Menteri Besar yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Cakap-cakap itu sudah pun tersebar luas di laman sosial Facebook hari ini. Tindakan itu dilakukan Anwar untuk cuba menarik kembali keyakinan PAS ke dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Anwar dilaporjan cukup risau apabila PAS keluar dari PR memandangkan jentera PAS yang ramai dan pasti melemahkan PKR jika PAS keluar.
“Dr Idris sebelum ini telah menjadi sebut-sebutan dari PAS,” kata sumber berkenaan.
Dengan berita terbaru ini, berkemungkinan hayat Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor akan berakhir tidak lama lagi jika PAS kembali menyokong idea PKR untuk menukar Menteri Besar.
Menurut sumber dalam itu, pengumuman nama baru itu akan dibuat Anwar dalam masa terdekat.
Semalam, Dr Wan Azizah telah mengadakan satu sidang media di Subang Jaya mengumumkan bahawa PR sudah pun memiliki sokongan 30 orang ADUN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditambah sokongan dua ADUN PAS iaitu ADUN Morib Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Klang Saari Sungib.
Dalam nada yakin semalam, Dr Wan Azizah tetap yakin bahawa hanya nama beliau akan berjaya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sepertimana kehendak parti yang dicanangkan sejak beliau memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Kajang sebelum ini. – MYNEWSHUB.MY
Oleh : KUMBANG WIRA