Upacara rasmi penghormatan terhadap jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 esok, akan diadakan seperti dirancang, tanpa mengira keadaan cuaca.
“Hujan atau panas, upacara ini akan tetap diadakan,” kata Ketua Bahagian Hal Ehwal Awam Kementerian Pertahanan Lt Kol Bakhtiar Nur Md Allias.
Semua persiapan bagi menerima jenazah 20 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam tragedi pada 17 Julai itu sudah siap diatur, katanya pada majlis taklimat kepada media sebelum bermulanya raptai penuh upacara itu di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Khamis.
Upacara itu akan turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, para pembesar negara dan waris mangsa.
Bakhtiar berkata 300 anggota 12 Briged Infantri akan bertugas untuk memastikan jenazah berkenaan, yang akan dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat khas MAS Boeing 747, akan dikendali dengan penuh hormat.
“Selepas keranda (kendi) dibawa ke kereta jenazah yang menunggu, juruacara majlis akan mengumumkan bermulanya upacara bertafakur selama satu minit sebelum kenderaan itu dipandu untuk lintas hormat di hadapan Yang di-Pertuan Agong,” kata Bakhtiar.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang, termasuk 43 rakyat Malaysia, ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Bagi menghormati mereka yang terkorban dalam tragedi itu, kerajaan mengisytiharkan esok sebagai Hari Perkabungan Negara.
Bakhtiar berkata kini, dua pesawat udara tentera dan lima helikopter diletak dalam keadaan tunggu sedia, untuk membawa jenazah berkenaan ke beberapa lokasi di seluruh negara.
Katanya untuk memastikan semua urusan berjalan lancar, protokol ketat akan dilaksanakan, termasuk dalam kalangan petugas media dan wakil media diminta tidak menemu bual waris mangsa.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman, yang turut menghadiri majlis taklimat itu, mengingatkan petugas media supaya mematuhi semua peraturan kerana ia merupakan upacara penuh tentera.
Petugas media juga perlu mematuhi etika berpakaian, termasuk memakai pakaian berwarna gelap, katanya.
— BERNAMA