KUALA LUMPUR – Detik masa seakan terhenti hari ini pada pukul 10.54 pagi apabila seluruh negara bertafakur selama seminit untuk memberi penghormatan kepada 20 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 selepas jenazah mereka tiba di tanah air dengan sebuah pesawat khas dari Belanda.
Jalur Gemilang dikibar separuh tiang ketika negara 30 juta penduduk ini bersatu dalam hiba bagi mengenang 20 warganya yang diragut maut apabila pesawat berkenaan bersama 298 orang terhempas bertaburan di timur Ukraine pada 17 Julai, suatu peristiwa menyayat hati yng mengejutkan seluruh dunia.
Ramai rakyat Malaysia berpakaian gelap hari ini, yang diisytiharkan Hari Perkabungan Negara, serta bertafakur selama seminit bagi mengenang mereka yang telah pergi untuk selama-lamanya.
Perhatian tertumpu pada istiadat ketenteraan di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang diberi kepada mangsa, apabila pengumuman dibuat agar seluruh negara mula bertafakur selama seminit, disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen.
Pengumuman itu dibuat setelah kesemua 17 keranda dan tiga kendi berisi abu mayat mangsa yang dibawa pulang dengan pesawat MAS MH6129 dari Amsterdam, diletakkan di dalam 20 kenderan jenazah. – BERNAMA