NANJING – Atlet ekuestrian pelapis lelaki negara, M.Praveen Nair yang mengalas cabaran negara di temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) nekad tidak ingin pulang dengan tangan kosong biarpun berdepan misi sukar dalam pemburuan pingat di edisi kedua temasya sukan remaja terbesar dunia itu.
Praveen bersama kudanya ‘Arkansas’ mengambil bahagian dalam acara show jumping berkumpulan antarabangsa dan acara show jumping individu lelaki berkata beliau berharap mampu meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara itu yang akan bermula pada Sabtu ini di Dewan D, Pusat Ekuestrain Xinzhuang.
“Saya akan cuba sedaya upaya menyumbang pingat tidak kira warna apa sekalipun kerana ia penting bagi saya dan juga negara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pelajar tingkatan lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell, Kuala Lumpur itu berkata banyak perkara baru yang dipelajarinya sepanjang berada di Nanjing dan ia amat berguna sebagai bekalan pada masa akan datang.
“Di sini (Nanjing) saya dapat mempelajari pelbagai teknik baharu dan bertukar-tukar pendapat dengan penunggang lain terutama dari negara Eropah dan negara Arab yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan berkuda,” katanya.
Pada aksi sebelah petang hari ini, Praveen Nair akan beraksi dalam acara show jumping berkumpulan antarabangsa.
Malaysia diletakkan dalam kumpulan ‘Australasia’ bersama Australia, Jake Hunter yang menunggang kuda ‘For The Star, Chiang Lennard dari Hong Kong yang menunggang kuda ‘DJ’, Fraser Emily dari New Zealand yang menunggang kuda ‘Exilio’ dan Saeed Kalantari dari Iran yang menunggang kuda ‘Cristallo’.
Praveen Nair yang menjadi wakil tunggal negara dalam sukan ekuestrian layak ke YOG 2014 setelah mempersembahkan aksi cemerlangnya pada Kejohanan Kelayakan Olimpik Remaja dan Fei World Jumping Challenge di Bukit Kiara, tahun lepas. – BERNAMA