PATTANI, Thailand – Industri pelancongan yang kian suram di beberapa wilayah di selatan Thailand angkara pertelingkahan berdarah sejak beberapa tahun lalu diharap kembali pulih dan dikunjungi semula pelancong terutama dari Malaysia.
Ketua Penerangan Lima Wilayah Sempadan Thailand, Samphan Musodi berkata, walaupun agak sukar untuk memastikan bila pergolakan itu akan berakhir namun yang pasti keadaan itu sebenarnya tidak membahayakan pelancong yang datang.
“Kami menerima anda (pelancong) dengan senang hati dan ingin memberitahu anda bahawa anda sangat selamat untuk berada di wilayah ini.
“Bantulah kami untuk pulihkan semula industri pelancongan dan dengan itu anda dapat membantu rakyat kami yang terbabit secara langsung dalam industri ini,†katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir program Persahabatan Media Malaysia-Thailand yang diadakan di Yala dan wilayah ini sejak Rabu sehingga Jumaat lepas.
Hadir sama pada program itu ialah Setiausaha Kelab Wartawan Akhbar Selatan Thailand, Abdul Karim Ramansiriwong yang juga Presiden Kelab Wartawan Yala, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Azran Fitri Abdul Rahim, Presiden Kelab Media Perlis, Shahidi Shahidan dan Presiden Kelab Stringer Wilayah Utara (KSWU), Che Saad Noordin. – BERNAMA