KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhak untuk menegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak semestinya pandangan itu dipersetujui.
Menegaskan demikian, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Dr Mahathir dikenali sebagai seorang yang mempunyai pendirian dan pandangan tersendiri serta tidak lokek dalam memberi teguran kepada kepimpinan negara.
Hishammuddin bagaimanapun secara peribadi berpendapat teguran itu seharusnya dinilai dengan melihat prestasi dan cara Najib melaksanakan tanggungjawabnya.
“Sebagai contoh, jika kita mengambil kira apa yang dilakukan Najib dalam insiden MH17, saya tahu tidak ramai pemimpin di luar sana yang mampu lakukan apa yang telah Najib lakukan.
“Sekiranya Najib tidak mengambil pendirian yang berani untuk berdepan dengan pihak pemisah hari itu, tidak mungkin saya dapat berdiri di sini untuk menguruskan jenazah kembali ke tanah air,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat kepada editor kanan berhubung persiapan istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di sini, Selasa.
Hishammuddin berkata adalah sesuatu yang menyedihkan jika usaha yang dilakukan Najib dalam memastikan keadilan kepada mangsa dan anggota keluarga pesawat MH17 itu gagal dinilai orang ramai.
Pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Mayat mangsa diambil oleh puak pemisah dan Najib mengambil inisiatif untuk berbincang dengan kumpulan itu yang kemudiannya bersetuju untuk memulangkan mayat kepada kerajaan Belanda.
Hishammuddin seterusnya menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk mengaibkan pandangan Dr Mahathir.
Semalam, Dr Mahathir membuat kenyataan menarik balik sokongan kepada Najib kerana mendakwa prestasinya lebih buruk daripada perdana menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Perkara itu dinyatakan di blognya www.chedet.cc dan Dr Mahathir berkata adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menegur kepimpinan negara, kerana sayang kepada bangsa dan negara. – BERNAMA