NEW YORK – Penyandang juara Wimbledon, Novak Djokovic dinamakan pilihan utama Terbuka Amerika Syarikat (AS) manakala juara lima kali, Roger Federer diundi pilihan kedua, umum Persatuan Tenis Amerika Syarikat.
Jika kedua-duanya melangkah ke final Grand Slam terakhir tahun ini itu, ia bakal mengulangi perlawanan final Wimbledon yang berlangsung dalam lima set sebelum dimenangi Djokovic.
Djokovic yang juga pemain nombor satu dunia melangkah ke final perseorangan Terbuka AS di Flushing Meadows sejak empat tahun lalu namun hanya menjuarainya pada 2011.
Manakala jaguh Switzerland, Federer yang diundi sebagai pilihan buat kali ke-14 berturut-turut kali terakhir memenanginya pada 2008.
Pemain nombor dua dunia dari Sepanyol, Rafa Nadal yang juga menjuarai Terbuka AS tahun lalu menarik diri akibat kecederaan pergelangan tangan kanan.
Juara Terbuka Australia dari Switzerland, Stan Wawrinka diletakkan pilihan ketiga manakala pemain Sepanyol, David Ferrer keempat diikuti jaguh Kanada, Milos Raonic pilihan kelima.
Pemain Republik Czech, Tomas Berdych diletakkan sebagai pilihan keenam diikuti jaguh Bulgaria, Grigor Dimitrov (ketujuh) dan pemain Britain, Andy Murray, yang juga juara 2012, kelapan.
Pilihan bagi kategori wanita akan diumumkan pada awal pagi esok di Pusat Tenis Kebangsaan Billie Jean King. – REUTERS