Ikon animasi negara, Upin dan Ipin menjadi antara tarikan utama pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 di Dataran Merdeka, Ahad ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia sebahagian daripada pendekatan baharu yang ditonjolkan pada sambutan kali ini selain usaha meningkatkan semangat patriotisme dalam diri anak-anak.
“Watak animasi Upin dan Ipin yang kita anggap sebagai harta intelek negara yang semakin berkembang maju dapat menarik minat anak-anak, selain berharap semangat patriotisme dalam diri ibu bapa juga meningkat apabila membawa anak-anak pada acara sambutan”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan raptai sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini, Khamis.
Upin dan Ipin akan dipaparkan pada skrin besar di dataran bersejarah itu yang bertindak sebagai pengacara, selain menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti ‘Warisan’.
Raptai yang bermula pada 8 pagi turut melibatkan 14,220 peserta yang membuat persembahan termasuk perbarisan pasukan keselamatan, pertunjukkan aset keselamatan dan pertahanan negara serta formasi bendera.
Mengulas mengenai raptai itu, Ahmad Shabery berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan persiapan tersebut walaupun terdapat beberapa perkara kecil yang perlu dipertingkatkan.
“Kalau boleh kita mahu kepada sesuatu yang hampir sempurna…seperti ‘grand stand’, bukan sahaja disediakan kepada tetamu tetapi juga sebagai kemudahan kepada penonton untuk menikmati persembahan dengan lebih baik”, katanya.
Ahmad Shabery turut mengingatkan rakyat supaya mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta dan sayang mereka kepada negara.
“Walaupun dalam keadaan kita masih berhiba atas kejadian yang menimpa negara namun kita perlu terus melangkah ke depan dan menunjukkan semangat serta kesungguhan kepada tanah air”, katanya.
— BERNAMA