Sekurang-kurangnya 171 bahagian UMNO dikatakan meminta kerajaan mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ini kerana akta tersebut dilihat masih relevan bagi memelihara keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.
Menurut sumber, sekiranya dimansuhkan golongan yang mempolitikkan ISA akan lebih berani mendesak supaya dihapuskan perkara-perkara lain yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
ISA juga dilihat dapat mempertahankan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sekaligus mencegah tindakan menukar sistem pemerintahan negara secara tidak demokratik
Lagipun ia bersifat preventif atau pencegahan dan bukannya kuku besi. Hanya dikenakan ke atas individu untuk mencegah mereka daripada bertindak menjejaskan ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.
ISA adalah undang-undang yang bersumberkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan itu sangat penting untuk mencegah kegiatan subversif dan terorisme. Akta ini penting untuk keselamatan pribumi, keselamatan etnik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi.
Ia adalah undang-undang yang diperlukan oleh sesiapa sahaja yang memerintah Malaysia kerana negara ini adalah majmuk dan sentiasa berdepan dengan masalah etnik dan agama. ISA juga berjaya memberikan keinsafan kepada beberapa tahanan agar terus mencintai negara. Akta ini juga menyelamatkan bukan sahaja bakal mangsa, malah individu berpotensi ganas daripada terjebak dalam kancah keganasan.
Akta ini juga bukan satu undang-undang draconian tetapi mengandungi peraturan-peraturan yang memelihara hak tahanan.
Sebagai sebuah negara majmuk ISA diperlukan sebagai undang-undang pencegahan untuk melindungi negara daripada insiden buruk yang mudah memusnahkan kaum dan negara.
Ia juga untuk menjaga keselamatan diri individu yang terlibat kerana jika dibiarkan bebas nyawanya akan terancam. – Mynewshub.my