Bagi masyarakat Islam di negara ini yang ingin mendalami ilmu agama terutama dalam kalangan bangsa Melayu, kitab Ihya ‘Ulumuddin karangan Sheikh Al Ghazali (Imam al-Ghazali) antara yang amat popular.
Bagaimana pun pakar hadis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datin Paduka Dr Jawiah Akhir mendedahkan, kajiannya menemui terdapat hingga 265 hadis palsu atau mawdu ditemui dalam kitab tersebut.
Dr Jawiah mendedahkan, kajiannya turut mendapati 285 daripada 825 hadis yang sering dipetik oleh masyarakat Melayu adalah mawdu.
Selain Ihya ‘Ulumuddin, kitab lain yang dikesan mengandungi hadis palsu adalah Durrah al Nasihin oleh Al-Hindi, Irshah ‘Ibad’ Ila Sabil Al Rashad (Sheikh Zayn Al-Din Al Malabari), Matla Al Badrayn dan Al Jawhar Al Mawhub wa Munabbihat Al Qulubby (Sheikh Ali Abd Al-Rahman Al Kelantani).
Antara punca hadis palsu menyelinap masuk ke dalam kitab karangan ulama terkenal menurut Dr Jawiah adalah kepentingan politik apabila tercetus konflik antara Sunni dan Syiah bagi mencapai maksud tertentu, kepentingan peribadi penglipur lara untuk mendapatkan imbuhan apabila memperdengarkan sesuatu yang disukai pendengar dan boleh jadi juga berlaku ketika proses terjemahan Bahasa Arab ke Bahasa Melayu.
Apa yang meresahkan, hadis palsu ini telah sebati dalam masyarakat kita dan sering diungkap dengan yakin baik oleh orang yang tidak mempunyai kelayakan agama di kedai kopi mahu pun pendakwah terkenal di kaca TV sebagai mana diajarkan guru mereka.
Walau pun kedengaran agak kontroversi, sebenarnya ini bukan kali pertama kitab Ihya ‘Ulumuddin ditegur oleh ulama seluruh dunia mempunyai hadis meragukan.
Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga pernah menyentuh hal ini pada 2006 dengan menyertakan pandangan serupa oleh tokoh hadis lain antaranya Imam Ibn Kathir, Imam Ibn Jauzi, Imam al-Zahabi dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Antara hadis palsu yang ditemui dalam kitab ini berkaitan solat Raghaib pada malam Jumaat pertama bulan Rejab diikuti puasa keesokan harinya.
Begitu pun teguran tentang hadis palsu dan daif dalam kitab Ihya ‘Ulumuddin bukanlah bermakna mempertikaikan ilmu dan jasa Sheikh Al-Ghazali yang banyak selama ini.
Beliau tetap dikenang sebagai tokoh pemikir Islam terkemuka cuma hadis bukanlah pengkhususan Sheikh Al-Ghazali sebagai mana diakui oleh para alim dalam bidang ini.
Maka selaku manusia biasa, beliau mungkin tidak terlepas daripada melakukan khilaf ketika mengarang Ihya ‘Ulumuddin.
Wallahua’lam. – MYNEWSHUB
Oleh: REM RAMZI
Sumber: sebastianphiu.com / Dr MAZA