IPOH – Seramai 38 pasangan pengantin menyempurnakan akad nikah masing-masing dalam majlis Nikah Jamaie Syarie anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPK) di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini hari ini.
Pengarah JAIPK Datuk Mohd Yusop Husin berkata program ini menerima penyertaan lebih ramai berbanding tahun lepas iaitu sepuluh pasangan.
“Tahun ini kita menerima 38 pasangan termasuk lima pasangan Orang Asli selain saudara baharu walaupun sasaran kita 50 pasangan,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata tujuan utama pernikahan Jamaie Syarie itu adalah untuk menjadikan masjid sebagai lokasi pernikahan dan pusat kegiatan masyarakat setempat selain membantu golongan kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga.
“Ada antara mereka yang kurang berkemampuan, dengan adanya program ini kita dapat menggalakkan serta mendedahkan kepada umat Islam bagaimana majlis pernikahan yang selaras dengan hukum syariat,” katanya.
Mohd Yusop berkata pasangan hanya dikehendaki memberi sumbangan RM500 sebagai kos majlis keraian selain bayaran Kadi serta jamuan.
“Tidak berlaku pembaziran, majlis seperti ini dapat menjimatkan perbelanjaan pasangan. Perkahwinan yang lazim diadakan pada masa kini dilihat bertentangan dengan hukum syariat,” katanya.
Majlis tersebut akan dijadikan program tahunan dan berharap ia dapat dijalankan di seluruh negeri dengan penyertaan lebih ramai terutama daripada saudara baharu Islam dan mereka yang kurang berkemampuan.
Sementara itu, ketika menyampaikan khutbah pernikahan, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Keluarga JAIPK Zakaria Abdul Razak berkata statistik penceraian pasangan Muslim di Perak menunjukkan penurunan.
“Bagi tahun 2014, setakat ini sebanyak 7,050 pernikahan manakala kes penceraian pula sebanyak 1,540 berbanding pada tahun 2012, pernikahan sebanyak 12,230 dan 2,451 (penceraian) manakala bagi tahun lepas sebanyak 13,246 (pernikahan) serta 2,013 (penceraian),” katanya.
Mereka yang berminat untuk menyertai Majlis Nikah Jamaie Syarie boleh mendaftar di JAIPK dan pejabat agama daerah.
Majlis Nikah Jamaie Syarie hari ini dijalankan dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Keluarga JAIPK serta Badan Kebajikan dan Sukan Agama Islam Perak.
Pasangan Mohd Nur Raimi Chai Abdullah, 44, dan Norfarhana Mohammad Yusoff, 25 meluahkan rasa syukur apabila pernikahan mereka yang sepatutnya dilangsungkan hujung tahun ini dapat dicepatkan melalui majlis hari ini.
Pasangan Shahrulnizam Abdullah, 22, dan Farhana Nabilah Sulaiman, 20, menyifatkan pernikahan mereka secara beramai-ramai satu pengalaman baharu yang menyeronokkan.
Amran Mohamed Ismail, 26, dan pasangannya Salamiah Tarmizi, 26, berkata mereka memutuskan untuk menyertai majlis hari ini selepas mengetahuinya ketika menjalani kursus perkahwinan. – BERNAMA