KUALA TERENGGANU – Sebanyak 753 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) diberkas oleh Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu sehingga Ogos tahun ini.
Timbalan Pengarah Imigresen negeri Mohd Shahrir Khalil berkata daripada jumlah itu, warga India dikesan paling ramai ditahan masuk ke negeri ini secara haram iaitu sebanyak 252 orang diikuti warga Bangladesh (93) dan Myanmar (58) serta bakinya warganegara lain.
Beliau berkata antara kesalahan yang lazim dilakukan PATI ialah tiada permit sah untuk tinggal di Malaysia, menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tinggal lebih masa di Malaysia.
“Daripada tangkapan itu, kita dapati PATI yang bekerja di sektor pembinaan paling tinggi dikesan melakukan kesalahan tersebut hasil serbuan yang dilakukan di tapak-tapak binaan dan rumah kongsi di seluruh negeri ini.
Selain itu seramai 195 orang PATI dan dua majikan juga telah didakwa di mahkamah atas beberapa kesalahan pada tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini, Rabu.
Dalam pada itu, Mohd Shahrir mendedahkan terdapat warga Pakistan yang masuk ke negeri ini dikesan sanggup mengahwini wanita tempatan yang lebih berusia agar dapat menetap lebih lama sehingga ada sebilangannya berjaya membuka empayar perniagaan perabot dan permaidani.
Katanya pelbagai taktik dan helah sanggup dilakukan warga asing dari negara berkenaan bagi mengelak daripada ditahan ketika siasatan dan pihaknya sudah sedia maklum trend itu telah lama wujud.
Menurutnya dalam beberapa serbuan yang dilakukan di negeri ini baru-baru ini, pihaknya mendapati warga Pakistan yang berusia antara 20 hingga ke 30-an ini menjalankan perniagaan menjual perabot, permaidani dan sebagainya.
“Hasil siasatan kita dapati mereka ini memikat wanita tempatan yang berusia sekitar 50-an untuk berkahwin bagi membolehkan mereka menetap lebih lama.
Namun bila kita soal lebih lanjut, kita dapati ada di kalangan mereka tidak mengambil kisah tentang isteri mereka termasuk tidak mengetahui nombor telefon isteri,” katanya.
Jelasnya taktik yang digunakan warga Pakistan itu seolah-olah mempergunakan wanita tempatan untuk menyelamatkan mereka daripada ditahan. – BERNAMA
I like this site very much, Its a real nice post to read and obtain info.Blog monry