KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa seramai lapan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di mahkamah hari ini berhubung tuduhan menerima rasuah secara bulanan antara RM500 hingga RM130,000.
SPRM dalam satu kenyataan media memberitahu, tujuh daripada mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam, Selangor manakala seorang lagi di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur.
Menurut SPRM, kesemua tertuduh merupakan sebahagian daripada pegawai JKDM yang ditahan dalam satu operasi khas pada 3 September lalu.
“Mereka berhadapan antara lapan hingga 52 tuduhan iaitu kesalahan menerima wang perlindungan bulanan. Keseluruhan tuduhan yang dikenakan hari ini adalah sebanyak 106.
“Kesemua tertuduh berusia lingkungan 39 hingga 58 tahun dituduh melakukan kesalahan itu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas individu dan syarikat yang membawa keluar barangan yang tidak dikenakan cukai eksais dari Zon Bebas Pelabuhan Klang.
“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan. Kesalahan ini juga melanggar Seksyen 135 Akta Kastam 1967.,†kata kenyataan itu hari ini.
Mereka yang didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur adalah seperti berikut:
– Datuk Mohd, Nasir Said, 58, didakwa atas lapan pertuduhan melibatkan nilai suapan RM80,000, di bawah Sekysen 16a (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Kes ini akan disebut semula pada 23 Oktober 2014 dan beliau diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin.
Mereka yang didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam:
– Datuk Saad Ishak, 57, dituduh dengan sembilan pertuduhan melibatkan nilai RM29,000 di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009. Beliau diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan passport perjalanannya ditahan.
– Abdul Ghafar Mohamad, 46, dituduh dengan 19 pertuduhan melibatkan nilai rasuah RM38,000, di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009. Beliau diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan passport perjalannnya ditahan.
– Mohd. Ariffin Zakaria, 56, dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009, melibatkan nilai RM2,000. Beliau diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan passport perjalanannya ditahan.
– Sohaizan Othman, 39, dituduh dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009, melibatkan nilai RM1,000. Beliau diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan passport perjalannya ditahan.
– Abd. Razak Basri, 55, dituduh dengan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009, melibatkan nilai RM22,000. Beliau diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan passport perjalanannya ditahan.
– Hizam Abd. Ghani, 56, dituduh dengan 52 pertuduhan melibatkan nilai suapan RM298,000. Satu di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 manakala 51 pertuduhan di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009. Beliau diikat jamin dengan RM40,000 dengan seorang penjamin manakala passport perjalanannya ditahan.
– Azlee Mohamed Yusof, 48, hadapi lima pertuduhan melibatkan nilai rasuah RM77,000. Empat tuduhan di bawah Seksyen 16a (A) dan satu tuduhan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009. Beliau diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan passport perjalanannya ditahan. – mynewshub.cc