LONDON – Abang kepada mangsa bunuh kumpulan militan negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), Mike Haines menyifatkan kematian adiknya itu tidak ada kaitan dengan Islam sebaliknya kumpulan pengganas itu yang perlu dipersalahkan.
Mike ketika ditemubual BBC turut membaca ayat al-Quran surah Fussilat, ayat 41 yang berbunyi “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukuman) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik apabila engkau berlaku sedemikian maka orang yang rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat baik.
Menurut Mike, ada beberapa surah dalam al-Quran yang dirasakan sesuai diaplikasikan dalam keadaan berkenaan dan surah berkenaan adalah salah satu darinya.
Mike berkata, reaksi pertama terhadap pembunuhan adiknya, David itu adalah rasa benci, namun perjuangan David bukan dibuat atas rasa benci sebaliknya dia ke Syria bagi membantu mangsa perang.
“Radikal kekal sebagai ancaman paling besar dalam kehidupan manusia dan kita menyaksikan ia semakin meningkat. Ia bukan kaum, agama atau isu politik sebaliknya isu semasa dalam hidup kita,’’ katanya tenang.
David diculik pada bulan Mac lalu ketika menjadi pekerja sukarela kumpulan aktivis dari Perancis di kem pelarian di Syria.
Sebelum ini dia sudah mengembara ke Libya, Yugoslavia dan Sudan Selatan.
Pada Sabtu, ISIS telah memuatnaik naik video pembunuhan David, dengan alasan ia merupakan pengajaran kepada Amerika Syarikat dan sekutunya.
David merupakan mangsa ketiga yang dibunuh oleh ISIS selepas dua rakyat Amerika Syarikat menjadi mangsa sebelum ini.