KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah akan mengetuai perwakilan Malaysia ke Mesyuarat ke-11 Menteri-menteri Kewangan Asia-Eropah (ASEM FinMM11) di Milan, Itali pada 12 Sept.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata penyertaan itu akan meningkatkan lagi kerjasama Malaysia dengan negara Asia dan Eropah dalam bidang ekonomi, kewangan, perdagangan dan pelaburan.
Ia berkata mesyuarat itu bertemakan ‘Satu Pakatan Strategik Baharu untuk Pertumbuhan Mampan dan Menguntungkan’ akan dibahagikan kepada tiga sesi.
Perwakilan akan membincangkan perkembangan ekonomi dan kewangan pada sesi pertama dengan menumpu kepada masa depan global dan serantau di samping risiko dan prospek dasar untuk dua rantau itu.
Sesi kedua membicarakan tema ‘Perkongsian Eropah dan Asia untuk Meningkatkan Pertumbuhan dan Produktiviti’ dalam usaha menyediakan satu platform untuk negara anggota ASEM bertukar-tukar pandangan mengenai perkongsian strategik propertumbuhan.
Sesi ketiga bertema ‘Perdagangan dan Pelaburan Masa Depan di Eropah dan Asia’ mengkaji implikasi ekonomi dan perubahan dalam corak perdagangan serta membincangkan dasar-dasar yang menguntungkan negara anggota, kata MOF.
MOF berkata mesyuarat itu juga akan membolehkan Ahmad Husni bertukar-tukar pandangan dengan rakan sejawatan beliau mengenai langkah dasar yang boleh diambil bagi mengukuhkan kerjasama pelbagai hala dan dua hala.
Ahmad Husni juga dijangka menemui wakil Dana Antarabangsa untuk Pembangunan Pertanian (IFAD) bagi membincangkan kaedah dalam mengukuhkan perkongsian antara Malaysia dengan IFAD.
IFAD ialah agensi khusus Pertubuhan Bangsa Bersatu yang ditubuhkan sebagai sebuah institusi kewangan pada 1977 untuk membiayai projek pembangunan pertanian terutama bagi pengeluaran makanan di negara membangun. – BERNAMA