PUTRAJAYA – Keputusan sama ada hendak mengekalkan Akta Hasutan 1948 atau memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional akan dibuat dengan penuh berhemah, terbuka tetapi dalam keadaan terkawal supaya negara terus harmoni, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan tidak akan melakukan sesuatu langkah atau tindakan yang boleh menyebabkan suasana tidak tenteram dalam negara.
“Percayalah proses itu akan dilakukan penuh berhemah, dengan cara terbuka tetapi dalam keadaan terkawal mudah-mudahan kesudahannya nanti negara lebih harmoni, kukuh, stabil dan berjaya,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini Isnin.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri di JPM dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Najib menegaskan langkah itu akan dilakukan secara rasional kerana untuk mengubah atau memperkenalkan sesuatu akta ia mestilah lebih baik daripada akta sedia ada.
“Dalam hal itu kita akan melakukan rundingan dengan semua ‘stake holder’ (pihak berkepentingan), tentu sekali yang dilihat bersuara dalam hal ini ialah kumpulan yang mewakili orang Melayu,” katanya.
Najib berkata beliau faham mengapa komuniti Melayu menyuarakan pandangan berkaitan Akta Hasutan kerana terdapat isu yang paling dekat dengan mereka iaitu berkaitan Islam, raja-raja Melayu dan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru itu, Najib berkata apa jua keputusan bakal diambil berkaitan Akta Hasutan dan Akta Keharmonian Nasional tidak akan menyebabkan orang Melayu atau bukan Melayu rasa lebih bimbang, kurang yakin serta tergugat.
“Kalau tidak lebih baik mengapa kita ambil langkah itu, adalah sesuatu yang tidak wajar apa jua langkah pembaharuan kalau ia bukan langkah lebih baik.
“Sebab itu semua proses berhubung langkah itu mesti diuruskan dengan baik supaya pada kesudahannya dan keputusan dibuat akan mencerminkan satu keadaan lebih baik,” kata perdana menteri.
Rakyat juga, katanya, perlu faham bahawa kerajaan tidak akan buat sesuatu keputusan yang boleh membawa ketidakadilan atau kemarahan mana-mana komuniti di dalam negara.
Pada perhimpunan itu, perdana menteri turut melahirkan rasa syukurnya kerana sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 Malaysia diraikan dengan perasaan bangga dan semangat patriotisme, meskipun negara masih diselubungi kesedihan berikutan dua tragedi yang menimpa pesawat MAS itu.
Tema yang dipilih tahun ini ‘Di sini Lahirnya Sebuah Cinta’, juga amat bertepatan dan sudah menjadi sebut-sebutan serta popular, kata Najib.
Selain itu, beliau berkata kebersatuan dan perpaduan semasa bertafakur selama seminit pada Istiadat Penerimaan Jenazah MH17 pada 22 Ogos juga menunjukkan perpaduan dalam keharmonian rakyat Malaysia.
“Peristiwa seumpama itu belum pernah berlaku jadi ia merupakan satu ujian kerana bila berlaku satu peristiwa yang menyentap perasaan boleh dilihat terdapatnya penyatuan perasaan menerusi tindakan kebersamaan,” katanya. – BERNAMA