SUSULAN amukan Zaquan Adha mengenai lakonan isterinya, Ayu Raudah dalam filem ‘Lagenda Budak Setan 3’ yang kami siarkan sebentar tadi, pelakon itu akhirnya memberikan kenyataan menerusi Berita Harian.
( BACA: Zaquan Mengamuk Di Twitter, Larang Ayu Raudah Berlakon )
Kata Ayu, suaminya mungkin tidak tahan melihat babaknya dipukul oleh Iqram Dinzly yang memegang watak sebagai Shan sewaktu pratonton filem tersebut.
“Memang kebanyakan babak membabitkan saya dengannya memerlukan aksi pukul memukul di antara suami isteri. Ketika penggambaran berlangsung, memang beberapa kali babak perlu dirakamkan semula kerana saya tak tahan dipukul.
“Trauma juga dengan setiap babak itu. Tapi bila tengok hasil babak yang dilakukan, ia nampak cukup mengesankan padahal ketika penggambaran azabnya hanya Tuhan saja yang tahu. Ada ketika penggambaran memang ada babak saya dicekik Iqram, hingga saya tak boleh bernyawa.
“Kepala saya ditunjal pun ada. Babak saya ditendang betul seperti yang ditulis Farid pun benar-benar saya alami. Bahkan ada juga babak saya ditolak sampai jatuh ke lantai,” jelasnya.
Bagaimanapun, setiap kali selesai babak tersebut, Iqram akan memohon maaf kepadanya.
“Cuma apabila melakukan babak yang seterusnya, dia (Iqram) akan mengulangi benda yang sama. Kalau tanya masa penggambaran dulu, jawapan saya mungkin tak perlulah sampai memukul dengan betul-betul sekalipun nak menjiwai watak.
“Benda dah lepas. Tapi saya agak serik untuk berlakon watak seumpama ini lagi,” katanya sambil mengakui dia tidak mempunyai sebarang isu dengan Iqram.
Sementara itu, Iqram menerusi akhbar yang sama momohon maaf kepada Zaquan dan Ayu, namun menganggap lakonan tersebut adalah atas perbincangan bersama.
“Apa yang saya lakukan sebagai pelakon atas permintaan pengarah. Mungkin saya ‘naik syeh’ hingga tak sedar apa yang dilakonkan. Malah ada kawan pelakon saya cakap watak saya seperti benar-benar psiko dan gila.
“Untuk Zaquan, jika rasa lakonan itu membuatkan dia rasa tak suka atau mungkin mencabar dirinya sebagai suami yang tak berkelakuan sedemikian, saya minta dia kalau tak sanggup jangan tengok filem ini.
“Saya tak kenal pun Zaquan secara peribadi. Tapi dia ada hak untuk buat begitu. Saya hormatinya. Kalau ada anggap ini sebagai sensasi untuk melariskan filem, saya rasa sebaiknya masyarakat dan penggemar filem ke pawagam untuk menontonnya sendiri,” ujarnya.
Dengan penjelasan panjang lebar daripada kedua-dua pihak ini, rasanya tak perlulah lagi perkara yang sama berulang di kalangan artis kita.
Bak kata orang, inilah cabaran apabila bersuami atau beristerikan seorang pelakon.
Adalah lebih baik jika perkara seperti ini dibincangkan sesama sendiri dan bukannya disuarakan di akaun sosial kerana ia hanya akan mengundang persepsi negatif di kalangan peminat, betul tak?
Oleh: ELZA / MYNEWSHUB.CC