Revolusi peranti boleh-pakai telah dimulakan oleh Google Glass dua tahun yang lalu.
Sehingga kini cermin mata pintar keluaran Google ini masih tidak terjual secara rasmi di Malaysia dan pemilikannya juga adalah cukup terhad.
Baidu, syarikat carian gergasi China yang boleh dilabelkan “browser google versi China” ini memperlihatkan cermin mata pintar mereka semalam yang diberi nama Baidu Eye.
Tidak seperti Google Glass, Baidu Eye tidak mempunyai sistem paparan skrin di hadapan mata pengguna.
Sebaliknya ia hanya dilengkapi kamera, mikrofon dan fon telinga.
Agak pelik apabila dikategorikan cermin mata pintar kerana tiada sebarang skrin paparan yang digunakan, tetapi itulah uniknya Baidu Eye ini.
Menurut Baidu sistem paparan skrin mini yang digunakan Google tidak mesra pengguna dan hanya menghabiskan bateri.
Baidu Eye ditambat kepada telefon pintar anda dan segala maklumat yang anda mahukan akan dipaparkan pada skrin telefon apabila diperlukan.
Ini dilakukan dengan aplikasi khas Baidu yang boleh mengesan objek apa yang anda sedang lihat dan mengenalpastinya untuk anda.
Selain mengesan objek yang dilihat, Baidu Eye menyokong kawalan suara dan kawalan pergerakan tangan anda.
Tiada maklumat penuh mengenai spesifikasi cermin mata pintar ini, peranti yang disokong ataupun bila ia akan memasuki pasaran.
Baidu hanya memperlihatkan prototaip ini untuk melihat reaksi orang ramai dan mendapatkan maklum balas pengguna.
Sumber: Fasco/ Amanz
Oleh: hzqahmd