LONDON – Penyerang baharu Barcelona, Luis Suarez dapat beraksi dalam La Liga menentang musuh tradisi, Real Madrid pada 25 Oktober ini.
Perlawanan itu akan diadakan sehari selepas tempoh penggantungan ke atas penyerang kontroversi Uruguay itu berakhir.
Suarez dihukum empat bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas kesalahan menggigit pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini dalam aksi Piala Dunia 2014 di Brazil.
Sementara itu Liga Profesional Sepanyol (LFP) mengesahkan tarikh perlawanan El Clasico itu, hari ini.
Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) juga memberitahu Barcelona Suarez, 27, bebas bermain pada hari berkenaan.
“CAS mengesahkan kepada FC Barcelona bahawa tempoh penggantungan ke atas pemain Uruguay itu berakhir pada tengah malam 24 Oktober ini,” menurut kenyataan dari kelab Catalan itu dalam laman sesawangnya. – BBC Sport