KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pasukan keselamatan Malaysia, Belanda dan Australia masih menunggu kebenaran daripada badan antarabangsa untuk masuk ke lokasi nahas MH17 di timur Ukraine.
“Berdasarkan lawatan saya ke Ukraine minggu lalu, lokasi nahas masih lagi belum selamat malah pasukan awal yang memasuki kawasan itu ada yang pernah ditembak.
“Kita akan pantau keadaan di sana terlebih dulu, kita tidak mahu lebih ramai berdepan dengan risiko, ..kita akan dibantu badan antarabangsa bila kita boleh masuk,” katanya mengumumkan perkembangan operasi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) penerbangan MH370 yang hilang dan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kapal Malaysia, Go Phoenix dijangka tiba di kawasan carian MH370 pada 25 September ini.
Kapal itu akan menjalankan carian selama 20 hari sebelum dijangka berlabuh di Fremantle, Perth bagi mendapatkan bekalan bahan api pada 20 Oktober depan.
“Saya dan Presiden PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas akan ke Perth bagi menyampaikan taklimat berhubung operasi dan bertemu dengan anak kapal Go Phoenix bulan depan,” katanya. – BH Online