PATTANI (Selatan Thailand) – “Saya tidak sedar apabila bom meletup dan bila sedar saya sudah beberapa hari berada di hospital”, kata Ahmad Abdul Karim sewaktu menceritakan keadaan apabila terkena bom enam tahun lepas.
Mungkin tepat kata pepatah yang berbunyi “berpantang ajal sebelum maut” buat Ahmad, 32, wartawan di Daily News dan Thai PBS yang berpangkalan di Yala, Selatan Thailand apabila berhadapan situasi ibarat “nyawa di hujung tanduk”.
Bagi Ahmad, dirawat selama sebulan di hospital akibat letupan bom berhampiran sebuah stesen kereta api di Yala bukan kejadian kali pertama
sepanjang bergelar wartawan di wilayah bergolak itu tetapi sudah tiga kali dirinya berhadapan dengan situasi yang sama.
TIGA KALI HAMPIR MAUT TERKENA BOM
“Tiga kali saya hampir terkena bom tetapi bom kali kedua inilah yang menyebabkan keadaan saya agak serius”, katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Ketika mengingatkan semua tragedi itu, Ahmad yang juga anak kepada Presiden Persatuan Wartawan Wilayah Yala, Abdul Karim Raman Siriwong, berkata insiden pertama yang dihadapi ialah pada 2005 ketika berumur 23 tahun.
Ketika itu beliau ditugaskan membuat liputan bagi kes sebuah motorsikal dibom.
“Tiba-tiba setengah jam kemudian berlaku satu lagi letupan dan saya yang ketika itu berada tidak jauh dari situ terpelanting jatuh”, katanya.
Namun letupan itu tidak menyebabkan sebarang kematian atau kecederaan dan Ahmad hanya mengalami pening kepala.
Dua tahun selepas itu, Ahmad sekali lagi membuat liputan satu kejadian letupan bom di sebuah pejabat Pos di Yala yang dianggap sebagai “maut yang semakin hampir” buat dirinya.
“Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu seorang anggota polis maut manakala 13 termasuk saya cedera apabila bom kedua meletupkan sebuah motosikal. Ketika itu saya dan empat lagi wartawan sedang mengambil gambar tidak jauh dari tempat kejadian”, katanya.
Beliau mengalami cedera parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Yala untuk rawatan.
“Allah masih sayangkan saya dan akhirnya saya kembali sembuh selepas sebulan dirawat di hospital”, katanya.
Keadaan di Selatan Thailand, yang telah meragut ribuan nyawa, rupanya masih belum berakhir dan kali terakhir Ahmad terkena bom ialah pada 2011 apabila sebuah pencawang telekomunikasi diletupkan.
Ahmad yang berada kira-kira 15 meter dari pencawang itu pengsan selepas terkena bom yang turut mencederakan tiga lagi rakan wartawan manakala seorang tentera mengalami putus kaki kanan.
“Kali ketiga ini walaupun pengsan tetapi Alhamdulillah keadaan pulih selepas seminggu berehat dan berubat kampung”, katanya.
TIDAK TAKUT UNTUK TERUS MENJADI WARTAWAN
Beliau yang berkahwin dan mempunyai seorang anak mengakui isterinya memang trauma apabila dia ditugaskan membuat liputan mana-mana kejadian seperti itu.
“Inilah keadaan Selatan Thailand dan saya tidak pernah merasa takut untuk bertugas demi organisasi saya dan demi pembaca. Kalau saya mati ini adalah mati perjuangan dan bukannya mati sia-sia”, katanya.
Di sini wartawan dianggap sebagai `hero’ dan suara mereka dalam akhbar adalah suara rakyat dan lazimnya kerajaan akan menuruti kehendak rakyat.
“Kami gembira kerana dapat berbakti untuk rakyat. Bagi kami kerja wartawan dianggap pekerjaan mulia dan rakyat lebih banyak bersama kami berbanding wakil rakyat kerana apa yang kami suarakan dalam media massa sering didengari pihak kerajaan”, katanya.
Bagi Abdul Karim, sebagai bapa sudah semestinya beliau sering bimbang dengan apa yang berlaku tetapi sebagai seorang wartawan beliau tetap memahami tugas anaknya terutama dalam melaporkan keadaan sedemikian.
HARAP KEADAAN KEMBALI AMAN
“Inilah tugas wartawan. Ajal maut itu di tangan Tuhan tetapi apapun saya tetap berdoa seluruh keluarga saya selamat terpelihara dan keadaan di sini kembali aman.
“Saya sering menasihatkan anak saya agar berhati-hati walau di mana jua berada dan doa ayah dan ibunya tetap bersama,” katanya.
Beliau berkata cabaran yang dihadapi terutama wartawan di Selatan Thailand adalah sangat mencabar kerana sentiasa berhadapan dengan keadaan getir yang seumpama.
Itulah harga yang terpaksa dibayar apabila berlaku pergolakan berdarah seperti yang berlaku di sini, katanya. – BERNAMA