TUMPAT – Melihat sahaja perkataan ‘Bunohan’, pasti ramai yang membayangkan tajuk sebuah filem tempatan yang memenangi anugerah filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-25 pada tahun lalu.
Filem genre drama aksi arahan Dain Said itu menampilkan pelakon Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Nam Ron yang mengisahkan konflik hubungan tiga beradik di Kampung Bunohan yang berakhir dengan pertelingkahan dan pembunuhan.
Bunohan diambil daripada nama sebuah kampung di Tumpat, Kelantan iaitu Kampung Bunohan yang terletak kira-kira 30 km dari Kota Baharu.
Kampung tersebut dikatakan dinamakan Bunohan sempena peristiwa pembunuhan yang berlaku di kampung itu berpuluh-puluh tahun dahulu dan kisah tersebut tersebar di internet dan menjadi lebih popular selepas filem Bunohan ditayangkan.
Kini, Bunohan yang sunyi sepi itu bertukar menjadi kampung yang sibuk dengan khemah-khemah dan dihiasi dengan bendera dan poster calon Barisan Nasional (BN) dan PAS kerana penduduknya terlibat sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.
Kampung Bunohan menjadi laluan utama dari selatan Thailand ke Kota Baharu dan sebaliknya.
Jalan di kampung itu kini mengalami kesesakan lalu lintas kerana anggota keselamatan mengadakan sekatan jalan raya bagi mengawal ratusan kenderaan penyokong parti politik dari seluruh negara yang menginap di hotel-hotel di Kota Baharu, melintasi jalan itu untuk ke pekan Pengkalan Kubor.
Bunohan mempunyai 1,433 pengundi berdaftar bagi PRK DUN Pengkalan Kubor ini dan 99.09 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu.
Menurut seorang penduduk kampung tersebut Awang Said, 57, kisah asal-usul nama kampung Bunohan itu tidak kena mengena dengan kisah seperti dalam filem Bunohan itu.
Awang yang dilahirkan dan tinggal di kampung itu sehingga sekarang, berkata menurut cerita penduduk sejak zaman dahulu, nama Bunohan sebenarnya diambil sempena dengan bahagian lukah atau perangkap ikan yang disebut bunohan dalam ejaan lama
Katanya, terdapat sebatang sungai dalam kampung ini yang dahulunya menjadi sumber rezeki bagi penduduk untuk menangkap ikan.
Mereka telah mencipta sejenis perangkap yang berjaya menangkap ikan dengan banyaknya hasil ‘bunohan’ ciptaan itu dan kerana kebijaksanaan penduduk kampung itu mencipta bunohan, maka kampung itu disebut sebagai Kampung Bunohan.
Awang berkata sejak filem Bunohan ditayangkan, ramai yang bertanyakan mengenai Kampung Bunohan namun sebenarnya cerita dalam filem berkenaan adalah rekaan pengarahnya dan hanya ‘meminjam’ nama Bunohan kerana keunikan pada nama itu.
Pada masa ini, Pengkalan Kubor yang sedang menghadapi musim Pilihan Raya Kecil (PRK) dikunjungi ramai orang luar terutama dari parti politik, pasukan keselamatan dan pegawai kerajaan yang terlibat dengan PRK itu.
Ramai orang yang melintasi kampung itu tidak melepaskan peluang untuk bergambar di papan tanda nama kampung yang tertera ‘Bunohan’.
Secara fizikalnya kampung tersebut tidak banyak bezanya dengan perkampungan lain di negara ini.
Hanya namanya yang unik menarik perhatian dan kedudukannya yang berhampiran dengan pekan Pengkalan Kubor yang menjadi pintu masuk antarabangsa yang bersempadan dengan Thailand. – BERNAMA