LOS ANGELES – Kebakaran besar di sini, yang dianggap lebih besar daripada Las Vegas dari segi keluasan, adalah kejadian terburuk yang pernah berlaku.
Hampir 7,500 anggota bomba bertungkus lumus berusaha memadamkan kebakaran yang dinamakan ‘King Fire’ itu di timur Sacramento sementara 3,000 orang terpaksa dipindahkan ke tempat lebih selamat.
Setakat ini hanya 35 peratus saja kebakaran dapat dikawal, yang mengancam beribu-ribu bangunan dan rumah.
California kini mengalami kemarau teruk bagi tahun ketiga, dengan api menyemarak tinggi berikutan tiupan angin kuat di kawasan hutan. Kira-kira 95 peratus daripada kebakaran itu dikatakan berpunca daripada manusia sama ada secara tidak sengaja atau disengajakan.
Lima kebakaran kini melanda California, termasuk ‘King Fire’ itu, yang mula berlaku sejak 13 September lalu, yang didakwa dilakukan dengan sengaja di kawasan El Dorado dan sehingga kini sudah membakar 362 kilometer persegi – keluasan yang lebih besar daripada Las Vegas. – AFP