KUALA LUMPUR – DAP digesa mengambil tindakan ke atas Naib Presiden parti itu, Chong Chieng Jen kerana mendakwa langkah kerajaan meminta pawagam memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan filem sebagai usaha menjadikan Malaysia sebuah negara komunis.
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, DAP perlu mengenakan tindakan disiplin ke atas Chieng Je yang juga Pengerusi DAP Sarawak kerana menghina lagu kebangsaan.
“Pemuda Gerakan mengutuk kenyataan Naib Pengerusi DAP yang mempersendakan lagu kebangsaan.
“DAP perlu melihat kenyataan oleh Chieng Jen terhadap lagu kebangsaan sebagai suatu yang serius dan tindakan disiplin perlu diambil terhadapnya,†katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Keng Liang berkata, DAP tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih kerana bekas pemimpin parti itu M.Manoharan pernah dikenakan tindakan disiplin kerana mencadangkan supaya Jalur Gemilang ditukar.
Chieng Jen dalam satu kenyataan melalui media sosial semalam mempertikaikan langkah kerajaan memainkan lagu Negaraku di pawagam dengan mendakwa ia usaha menjadikan Malaysia sebuah negara komunis.
Beliau turut mendakwa langkah dan usaha kerajaan untuk memupuk sifat cintakan negara sebagai usaha mengarut dan hina. – mynewshub.my