TIDAK dinafikan dalam sesetengah program realiti yang memerlukan pandangan juri, ada juri tetap atau jemputan yang gemar memberikan kritikan negatif, namun tidak pula memberikan sebarang tip bagi memperbaiki kelemahan peserta.
Dek kerana itu, Pengetua Akademi Fantasia 2014, Datuk Hattan menerusi Murai.com telah menyarankan agar para juri memberikan tip yang bernas kepada para pelajarnya.
“Rasa tidak adil bagi mereka, kalau ingin memberi komen, komenlah dengan tip yang bernas, jangan biarkan mereka sendiri bingung mencari silapnya. Sejujurnya komen-komen daripada juri amat penting bagi saya dan tenaga pengajar untuk membuat ‘post mortem’,†ujarnya.
Dalam hal ini, kami setuju 100 peratus dengan pandangan Datuk Hattan.
Apa tidaknya, kami sendiri kerap menyaksikan betapa pedihnya komen sesetengah juri dalam beberapa program realiti yang dilihat lebih kepada ‘menghentam’ persembahan para peserta.
Namun, mereka kemudiannya dibiarkan terkebil-kebil di atas pentas sambil memikirkan punca kelemahan mereka.
Selepas ini, diharap agar selebriti yang tampil sebagai juri tidak hanya mengambil peluang itu untuk menunjukkan ‘keotaian’ mereka semata-mata, tetapi lebih pembimbing buat para pelapis industri hiburan.
Oleh: ELZA / MYNEWSHUB.CC