NAMPAKNYA krisis yang melanda Shila Amzah dengan pihak media Melayu semakin mendapat perhatian ramai.
Yang terbaharu, penyanyi senior, Dayang Nurfaizah pula memberikan komennya berhubung isu berkenaan selepas ditemubual portal Gua.
Menurutnya, jika ada perkara yang perlu diperjelaskan, teguran haruslah dilakukan secara peribadi dan hal yang terjadi itu tidaklah harus diperbesarkan.
“Secara umumnya, bagi saya sendiri, industri kita ini tidak besar mana pun. Pusing-pusing nanti, kita akan jumpa orang yang sama juga. Artis dan media perlulah ada hubungan yang baik. Masing-masing perlu menjaga hubungan.
“Kalau ada yang tidak betul, sebagai artis kita perlu tegur, tetapi tidak patut diperbesarkan. Jika ada sebarang masalah, berhubunglah secara peribadi. Seperti contoh jika ada penulisan yang kurang tepat, artis sendiri perlu hubungi media yang menulis cerita tersebut untuk memperjelaskan keadaan dengan cara baik,” katanya.ÂÂ
Ada benarnya kata Dayang tu, daripada perbesarkan hal-hal seperti itu di laman sosial, lebih baik bertanya dulu kesahihan sesuatu perkara itu kepada pihak yang sepatutnya.
Mungkin nasihat Dayang ini boleh diguna pakai untuk semua artis sama ada yang sudah lama atau baharu sahaja bertapak dalam industri hiburan tempatan.
Artis dan pihak media bagai aur dengan tebing, sama-sama saling memerlukan dalam karier masing-masing. Jadi, tak manis pula kalau bermasam muka sesama sendiri kan.. Tak gitu? – MYNEWSHUB.CC
Oleh: AUDREY LEE