KUALA LUMPUR – Dua bekas pemain hoki kebangsaan hari ini gagal dalam saman fitnah mereka terhadap Malay Mail Sdn Bhd dan dua editor berhubung satu artikel yang disiarkan akhbar itu dua tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop menolak saman itu yang difailkan dua beradik, Kevinder Singh dan Harvinder Singh, selepas memutuskan bahawa plaintif gagal membuktikan dakwaan mereka terhadap defendan.
Rosilah memerintahkan mereka berdua membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Malay Mail Sdn Bhd, editor Malay Mail Sdn Bhd dan editor sukan Malay Mail Johnson Fernandez.
Kevinder Singh dan Harvinder Singh memfailkan saman itu terhadap ketiga-tiga defendan berhubung artikel yang disiarkan Malay Mail pada 9 Okt 2012, dengan mendakwa artikel itu membawa maksud mereka sebagai pemabuk, melanggar undang-undang dan suka bergaduh serta membawa masalah kepada pasukan hoki kebangsaan.
Dalam pernyataan tuntutan, mereka mendakwa perkataan dalam artikel itu merujuk kepada mereka kerana hanya plaintif yang merupakan adik-beradik Sikh dalam pasukan hoki Malaysia dan berada dalam penerbangan ke Sydney untuk menyertai Kejohanan Sikh Australia pada April 2012.
Kevinder Singh dan Harvinder Singh menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. – BERNAMA