Putrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini, menyampaikan sumbangan 20.9 juta pasang sarung tangan getah perubatan untuk diagihkan kepada negara Afrika yang terbabit dengan penularan wabak Ebola.
Sumbangan sarung tangan getah itu adalah kerjasama kerajaan dan swasta dan pengagihannya untuk disalurkan kepada pihak berkuasa di Republik Liberia, Republik Sierra Leone, Republik Guinea, Demokratik Republik Congo dan Republik Nigeria.
Sebanyak 11 kontena dengan setiap kontena mengandungi 1.9 juta sarung tangan getah perubatan akan dihantar melalui Pelabuhan Klang ke pelabuhan negara berkenaan.
Republik Liberia, Republik Sierra Leone dan Republik Guinea masing-masing akan menerima tiga kontena sarung tangan getah itu manakala Demokratik Republik Congo dan Republik Nigeria masing-masing menerima satu kontena.
Perdana Menteri hari ini, menyampaikan sumbangan kepada wakil kedutaan berkenaan kecuali Sierra Leone dan Liberia yang tidak dapat hadir.