VALENCIA – Sepanyol mengatasi beberapa saat gementar sebelum hadir garang membelasah Macedonia 5-1 dengan lima penjaring berbeza pada perlawanan pertama Kumpulan C, kelayakan Euro 2016, pagi tadi.
Walau pun juara bertahan Eropah itu bermula baik dengan gol awal daripada Sergio Ramos dan Paco Alcacer, Macedonia membuat serangan balas dan dapat merapatkan jurang pada minit ke-28 daripada Agim Ibraimi.
Namun, ketangkasan penjaga gol, Iker Casillas menjaga gawang dengan baik membantu Sepanyol mendapat semula keyakinan di laman sendiri.
Sergio Busquets, David Silva dan Pedro Rodriguez menambah gol untuk pasukan yang menyaksikan tuan rumah lebih garang selepas itu dengan lawan kerap terperangkap.
Dalam perlawanan lain di kumpulan sama, Slovakia menewaskan Ukraine 1-0 di tempat sendiri manakala Luxembourg seri 1-1 menentang Belarus.
Robert Mak muncul wira Slovakia dengan gol kemenangan hasil sepakan kaki kiri pada minit ke-18 manakala Belarus memerlukan gol pada minit ke-78 daripada Stanislav Dragun untuk menyamakan kedudukan. Tuan rumah mendahului pada minit ke-42 hasil jaringan Lars Gerson. – AFP