BERITA baik untuk peminat filem animasi, kisah sang katak yang kecelaruan identiti, ‘Ribbit’ terbitan anak syarikat KRU Studios, Kartun Studios Sdn Bhd bakal menemui penonton di pawagam bermula esok.
Memetik laporan portal hiburan, gua.com.my, filem yang diilhamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim ini ditampilkan dalam dwi bahasa. Versi Bahasa Inggeris diarah dan ditulis oleh Chuck Powers manakala versi Bahasa Melayu diarahkan oleh pengarah tempatan yang tidak asing lagi iaitu Mamat Khalid.
‘Ribbit’ adalah sebuah filem keluarga yang sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Ia mengisahkan tentang seekor katak yang mengalami krisis identiti mengembara di hutan dalam pencarian hala tuju hidupnya yang sebenar. Akhirnya, dia menyedari bahawa menjadi seekor katak yang beracun adalah lebih baik dari menjadi seorang putera raja.
Bagi versi Bahasa Inggeris, Ribbit menggunakan suara artis-artis terkenal Hollywood antaranya Sean Astin (Lord of the Rings), Tim Curry (The Hunt for Red October) dan pelawak antarabangsa Russell Peters (Fast Food Nation) dengan rakaman suara dilakukan di Los Angelas, California.
Sementara itu, untuk versi Bahasa Melayu filem ini menampilkan suara-suara artis tempatan seperti Johan Raja Lawak, Elfira Loy, Awie, Datuk Aznil Hj Nawawi, Izzue Islam, AR Badul, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.
Lebih membanggakan, ‘Ribbit’ telah memenangi anugerah “Filem Keluarga Terbaik†semasa tayangan perdana dunia bagi Niagara Integrated Film Festival (NIFF) 2014 yang berlangsung di Canada pada 21 Jun 2014.
Jom kita ramai-ramai menonton serta memberi sokongan kepada filem tempatan esok! :- MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA