BEKAS Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sudah mencecah umur 83 tahun.
Hospital seolah-olah sudah menjadi rumah kedua beliau.
Tak ramai yang tahu yang Nik Aziz mengalami masalah kesihatan yang cukup serius terutama di bahagian prostatnya.
Ini menyebabkan beliau sentiasa perlu mengusung beg plastik ke mana saja beliau pergi bagi membolehkan air kencingnya di salurkan ke dalam beg plastik tersebut.
Tak cukup dengan itu, jantungnya juga mengalami masalah yang serius hingga menyebabkan bateri terpaksa dipasang bagi membolehkan beliau terus menjalani kehidupan sehariannya.
Mynewshub.my bukanlah mahu mengagung atau mendewakan pemimpin Pas tersebut, tetapi mahu tidak mahu, kita kena menerima hakikat bahawa inilah contoh seorang pemimpin politik yang tulin dan berkarisma, pemimpin yang meletakkan perjuangan melebihi dirinya sendiri.
Kita boleh berbeza pendapat, kita boleh berbeza pandangan dan aliran, tetapi perkara yang betul kita perlu jadikan ia sebagai panduan dan amalan.
Nik Aziz boleh saja duduk di rumah dan beribadat semahunya, tetapi beliau tahu beliau tidak boleh berbuat demikian, apatah lagi beliau menjadi sumber rujukan utama para pengikutnya.
Mahu tidak mahu, beliau terpaksa menggagahkan dirinya untuk memenuhi jemputan baik di peringkat parti mahupun di peringkat masyarakat.
Lihat saja Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Walaupun usianya sudah lanjut, keluar masuk hospital, namun tetap menggagahkan dirinya untuk berjuang dalam UMNO.
Ingat, politik bukan saja mengajar kita tentang perjuangan – politik juga mengajar kita tentang kesugguhan dan keazaman! – Mynewshub.my