Johor Bahru – Sindiket dadah terbesar yang ditumpaskan polis di Labis dan sekitar negeri ini, Jumaat lalu didalangi anggota kongsi gelap Geng 36 dan 21.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, sepuluh individu yang ditahan termasuk dua ketua sindiket dan seorang warga asing dipercayai terbabit dalam kumpulan gangster terbabit.
Jumaat lalu, JSJN Bukit Aman dan polis Johor melancarkan serbuan ke atas sebuah makmal dadah dalam ladang di Labis di sini dan menahan 10 suspek di beberapa stor dadah dan kediaman di sekitar Johor Bahru, Kulaijaya dan Segamat.
Operasi polis menumpaskan sindiket berkenaan dan merampas dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM11 juta adalah kejayaan rampasan terbesar sepanjang tahun ini.
“Dua ketua sindiket ditahan di sebuah rumah Kulaijaya, seorang ahli ditahan di dalam makmal manakala selebihnya dicekup sekitar negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, tengah hari ini. – myMetro Online