PETALING JAYA – Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan terhadap industri insurans akan memberi faedah kepada pengguna, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia (MII) Datuk Syed Moheeb.
Beliau berkata selepas satu tempoh, kos tuntutan insurans dijangka menurun dan akan membawa impak kepada statistik keseluruhan industri.
“Bagi saya, pelaksanaan GST akan mengurangkan kos tuntutan kenderaan bermotor yang kini meningkat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena ‘Konvensyen Ejen Insurans Am 2014’, di sini pada Khamis.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan merupakan tetamu kehormat program itu.
Mengambil contoh tuntutan kenderaan bermotor, beliau berkata insurans dibahagi dua iaitu alat ganti dan buruh.
“Apabila kita membayar tuntutan kepada bengkel, mereka kenakan caj cukai perkhidmatan untuk alat ganti pada kadar tetap.
“Dengan rejim GST ini, mereka dapat menuntut pembayaran balik dari segi input apabila bengkel membeli daripada pemborong.
“Ringkasnya, ini akan menurunkan kos keseluruhan tuntutan insurans,” katanya menambah ini akan memberi manfaat kepada pengguna untuk jangka panjang.
GST yang terbukti sebagai sistem cukai yang baik kerana lebih cekap, berkesan, telus dan mesra perniagaan, diamal oleh 160 negara dan Malaysia akan menikmati harga barangan dan perkhidmatan untuk keperluan asas yang lebih murah apabila kerajaan melaksanakannya kelak. – BERNAMA