MAKKAH – Program Warga Emas bukan sahaja membantu jemaah yang berseorangan mendapatkan teman semasa masya’ir, iaitu ketika wukuf di Arafah, bermabit di Mudzalifah dan melontar di Mina, malah memperlihatkan keprihatinan, warga Tabung Haji (TH).
Program tanggungjawab sosial korporat membantu jemaah yang berusia 65 tahun ke atas ini, melibatkan petugas TH serta Petugas Ambilan Musim (PAM) yang bertanggungjawab menjaga dan mengiringi 50 jemaah haji warga emas, terdiri daripada 25 jemaah lelaki dan 25 jemaah wanita.
Pengurus Unit Kaunseling TH Fauziah Ahmad berkata jemaah lelaki akan dijaga oleh PAM dan jemaah wanita oleh petugas wanita TH, secara bergilir 24 jam sehari, bermula 8 Zulhijjah.
“Mereka bukan sahaja membantu jemaah haji yang terpilih untuk menjalankan ibadah, tetapi juga akan menjaga makan minum serta membawa ke bilik air dan menemani mereka sepanjang masa,” katanya kepada media Malaysia semasa proses temuduga saringan pertama 11 jemaah haji, termasuk lima wanita dari Maktab Abraj Al Janadiriyyah, di sini hari ini.
Temuduga itu dikendalikan Pengarah Operasi (Bimbingan) Haji Tengku Aziz Raja Abdullah, Dr Suhana Muhamad dari unit kesihatan dan kaunselor, Mohd Noor Ikhram Husin.
Fauziah berkata jemaah haji yang layak diberi pertimbangan dilihat dari segi kesihatan, kelemahan dari segi pemikiran dan juga kefahaman mengenai ibadah haji, berseorangan dan memerlukan bantuan.
Malah, warga emas yang datang dengan keluarga dan menyukarkan keluarga mengendalikan mereka untuk beribadah juga layak diberi pertimbangan di bawah program ini.
Fauziah berkata ini adalah tahun kesepuluh TH mengadakan program berkenaan bagi membantu warga emas yang memerlukan pengiring semasa masya’ir.
Petugas TH akan mengenal pasti jemaah haji yang layak diberi pertimbangan di bawah program ini, katanya.
Sementara itu, antara yang ditemuduga hari ini ialah Hussein Md Said, 82, yang demam sejak tiba di Makkah, sehingga tidak mempunyai selera untuk menjamah makanan.
Menurut Hussein, buat masa ini teman sebiliknya Adnan Lop, 60, banyak membantunya termasuk membelikan makanan.
Beliau yang merupakan imam Masjid Kampung Kenangan Tun Dr Ismail Bakri, di Johor, adalah antara jemaah haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagi Jahariah Ibrahim, 75, dari Simpang Empat Kuar, Kedah, pula, beliau menghadapi kesukaran untuk mendapat teman semasa mengerjakan ibadah haji.
Malah sejak dari Kedah lagi, beliau tidak berjaya untuk mendapatkan kawan sebagai peneman ke Tanah Suci.
“Mak cik takut nak mai ke Makkah, jiwa dok bergelora..Mak cik dok doa moga Allah SWT permudahkan urusan haji mak cik,” kata ibu kepada dua orang anak itu.
Beliau berkata semasa di Madinah, beliau mendapat teman sebilik yang sanggup menemaninya ke Masjid Nabawi untuk bersolat, bagaimanapun di Makkah, teman sebiliknya tidak mampu untuk menemaninya beribadah di Masjidilharam kerana tempatnya agak jauh dan sukar untuknya berjalan.
Beliau berharap TH dapat membantunya menyediakan pengiring terutama untuk masya’ir kerana bimbang beliau tidak dapat mencari teman untuk bersama-sama mengerjakan ibadah tersebut.
Bagi Mohamed Nor Mohd Amen, 76, yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, yang datang bersendirian berkata beliau bimbang keadaan kesihatannya untuk melakukan ibadah wukuf dan melontar secara berseorangan.
Bapa kepada lapan orang anak itu berkata dengan adanya pengiring, beliau akan berasa lebih yakin dengan keselamatan dirinya.
Beliau yang sebelum ini tinggal berseorangan di Kuala Triang, Temerloh, Pahang selepas isterinya Matrom Poyeng meninggal dunia 25 tahun lepas, telah berpindah ke Klang untuk tinggal bersama-sama anaknya di Klang, Selangor. – BERNAMA