KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata haknya untuk mengundi dalam cadangan penggabungan antara RHB Capital, CIMB Group Holdings Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB), adalah kritikal.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata KWSP masih menunggu syarikat berkenaan mengumumkan rancangan penggabungannya.
“Hak KWSP untuk mengundi adalah kritikal untuk melindungi kepentingan kewangan pencarumnya. Semua pihak terbabit harus menyedari bahawa KWSP mewakili 14 juta anggota,” katanya.
Shahril berkata demikian selepas rundingan meja bulat media mengenai ‘Perubahan Demografi : Menyedari Cabaran dan Peluang’ di sini hari ini.
Laporan minggu lalu menyebut terdapat dokumen e-mel diedarkan dalam kalangan pengarah RHB Capital, meminta mereka untuk membantah permohonan kepada Bursa Malaysia berhubung pengecualian yang akan membolehkan KWSP untuk mengundi untuk urusan itu.
Sementara itu, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata 69 peratus daripada anggota mereka yang berumur 54 tahun mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan setakat 31 Disember 2013.
“Ini akan membawa kepada isu kekurangan tabungan persaraan.
“Dengan mengandaikan bahawa setiap individu perlu berbelanja RM800 setiap bulan, bersamaan pendapatan garis kemiskinan semasa sebagai bayaran persaraan, simpanan RM50,000 itu hanya boleh bertahan selama lima tahun.
“Angka ini rendah kerana mereka perlu mengekalkan hidup persaraan mereka selama 15 tahun,” katanya.
Samsu berkata pendidikan kewangan perlu dipupuk untuk membolehkan rakyat Malaysia membuat pelaburan yang betul dan bermaklumat seawal mungkin.- BERNAMA