SINGAPURA – Bintang tenis nombor dua dunia, Simona Halep muncul pemain ketiga berjaya menempah tiket pada kejohanan penutup musim, Jelajah WTA Final yang dijadual berlangsung di Singapura, bulan depan.
Pemain kelahiran Romania itu menyertai pemain nombor satu dunia dan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Serena Williams dan jaguh Russia, Maria Sharapova pada kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan lumayan bernilai $6.5 juta (RM20.9 juta) yang menampilkan lapan pemain terbaik dunia musim ini.
Halep, 22 sudah memenangi Terbuka Qatar dan Terbuka Bucharest tahun ini bagi menambah gelaran WTA miliknya kepada lapan selain menamatkan kejohanan Grand Slam Terbuka Perancis di kedudukan kedua selepas tewas kepada Sharapova.
Memulakan kempen musim ini di kedudukan ke-11 dunia, Halep juga berjaya melangkah ke separuh akhir Wimbledon namun tersingkir di pusingan ketiga Terbuka AS bulan lalu.
“Ia sentiasa menjadi impian saya untuk beraksi di kejohanan WTA Final,” kata Halep.
“Saya mengharungi kejayaan yang hebat tahun ini dan saya tidak sabar untuk berdepan pemain-pemain terbaik dunia di Singapura.”
Kejohanan WTA Final berubah lokasi daripada Eropah ke Singapura buat pertama kali dan akan dijalankan di stadium tertutup yang terletak di pusat sukan terbaru negara itu yang bernilai $1 bilion (RM3.2 bilion).
Beberapa bintang tenis dunia wanita yang turut memburu tempat ialah Agnieszka Radwanska, Petra Kvitova, Li Na, Eugenie Bouchard dan Ana Ivanovic pada kejohanan yang berlangsung pada 17 hingga 26 Oktober depan namun finalis Terbuka AS, Caroline Wozniacki dijangka tidak tersenarai. – Reuters