MELAKA – Seorang ibu tunggal yang berpendapatan RM400 sebulan bagaikan bermimpi apabila hasratnya untuk memiliki rumah yang selesa tercapai melalui projek pembinaan semula rumah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.
Maznah Abd Rahman, 49, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata keadaan rumahnya yang berusia 75 tahun, terlalu uzur ibarat menanti rebah dengan bumbung yang bocor dan lantai berlubang sebelum dibina semula menjadi rumah batu tiga bilik dengan kos pembinaan RM37,000.
Beliau berkata sepanjang tinggal di rumah papan usang satu bilik itu, dia dan ibunya, Embok Ahmad, 75, serta anak tunggalnya, Muhammad Yusri Mad Nayan, 15, sentiasa berada dalam keadaan bimbang memikirkan keselamatan mereka terutama ketika hujan dan ribut.
“Kami sekeluarga tidak menyangka berpeluang untuk tinggal di rumah yang lebih selesa.
“Saya juga tidak pernah tahu bomba mampu membina rumah kerana sebelum ini hanya tahu mereka terlibat dengan kerja kebakaran dan menyelamat saja,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 JBPM di Jalan Malim Bachang di sini hari ini.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan Timbalan Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Sazali Muhd Din dan dihadiri Pengarah JPBM Melaka Nazili Mahmood.
Sementara itu, Embok berkata sebelum ini dia dan anaknya pernah memohon untuk mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa daripada beberapa agensi perumahan negeri namun tidak berjaya kerana dimaklumkan tidak layak.
“Makcik amat berterima kasih dengan pihak bomba yang telah bertungkus-lumus menyiapkan rumah kami dalam keadaan hujan dan panas. Jasa mereka akan makcik kenang sampai akhir hayat,” katanya.
Dalam pada itu, Nazili berkata projek melalui peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Perumahan dan Kesejahteraan Bandar itu bermula pada 15 Mei lalu dan siap sepenuhnya pada 8 Ogos lepas.
Beliau berkata pembinaan rumah itu membabitkan lapan pegawai bomba masing-masing tujuh dari balai Kubu dan seorang dari balai Merlimau.
“JBPM Melaka telah membina semula empat rumah melalui projek tersebut dalam tempoh dua tahun bermula tahun lepas, tiga telah siap sepenuhnya manakala satu lagi di Alor Gajah sedang dalam proses pembinaan semula,” katanya. – BERNAMA