VIENTIANE – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlaku pada UPSR kali ini sebagai tindakan sabotaj menjejaskan integriti beliau dan kementeriannya.
“Saya anggap ini tindakan sabotaj untuk menjejaskan integriti saya dan kementerian,†katanya pada sidang media di Laos bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Pendidikan ASEAN Ke-8 hari ini.
Beliau yang marah dan dukacita atas kejadian itu berkata tindakan segera bukan sahaja telah diambil untuk mengesan dalang tersebut malah mengkaji keseluruhan prosedur operasi standard (SOP) penyediaan dan pengendalian kertas soalan bagi mengelakkan ia berulang pada masa depan.
“Selain membuat laporan polis, satu jawatankuasa bebas akan ditubuhkan bagi menyiasat kejadian ini termasuk merumus langkah bagi mengelakkan perkara seumpamanya berulang.
“Apa pihak tak bertanggungjawab ini dapat dengan membocorkan soalan UPSR ini,†katanya.
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini membatalkan kertas peperiksaan Bahasa Inggeris Kertas 1 dan 2 kerana siasatan mendapati ia turut bocor.
Semalam, kertas Sains didapati bocor dan ia diumumkan dalam satu kenyataan media oleh LPM.
Pihak kementerian telah menetapkan pada 30 September ini untuk kedua-dua subjek berkenaan diadakan semula. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K