KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kekesalan ke atas tindakan PAS melanggar keputusan yang dibuat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai lalu bahawa hak untuk menamakan calon Menteri Besar Selangor terletak pada PKR.
Sehubungan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengemukakan tiga soalan kepada PAS berhubung dakwaan PAS menghantar nama calon daripada parti itu untuk menjadi Menteri Besar Selangor kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PAS perlu menjawab mengapa wujud surat awal yang diakui oleh Setiausaha Agung PAS di mana tiga nama pimpinan PAS yang dicalonkan.
“Mengapa dalam kenyataan terkini dikatakan satu nama PAS dan dua nama PKR pula yang dihantar?. Bukankah ini melanggar persefahaman bahawa calon Menteri Besar Selangor adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR.
“Mengapa Setiausaha Agung PAS tidak mahu mengesahkan siapa nama calon-calon yang dihantar?. Adakah nama-nama calon PKR yang dihantar di dalam surat kali ini berlainan dengan keputusan PAS pada 17 Ogos 2014?,†katanya melalui satu kenyataan malam tadi.
Nik Nazmi berkata, adalah penting untuk rakyat Selangor mendapat penjelasan segera agar segala kekeliruan dan tanda tanya yang ditimbulkan PAS itu dapat dijawab. – mynewshub.my