KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menafikan laporan sebuah portal berita kononnya warga New Zealand, Natalie Lowry mendapat layanan buruk sepanjang ditahan jabatan itu kerana cuba memasuki Malaysia pada 31 Ogos lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aloyah Mamat berkata, Natalie tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dari Bali, Indonesia dengan penerbangan AirAsia pada tarikh tersebut,
“Semasa pemeriksaan imigresen, pegawai mendapati bahawa beliau telah disenaraikan dalam golongan orang-orang yang dilarang masuk.
“Beliau dilayan dengan baik sementara menunggu AirAsia menguruskan penerbangan menghantar beliau ke Bali semula. Penerbangan AirAsia bertanggungjawab menguruskan penerbangan balik dan makan minum beliau semasa menunggu pesawat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Aloyah berkata, Natalie bagaimanapun enggan dihantar semula ke Bali sebaliknya mahu ke Sydney, Australia namun beliau tetap dihantar semula ke Bali pada 1 September lalu dengan penerbangan AirAsia QZ 551 pada pukul 9.45 pagi
Jelas beliau, mengikut prosedur antarabangsa, orang-orang yang ditolak kemasukannya perlu dihantar balik ke lapangan terbang yang dinaikinya semasa hendak masuk ke negara ini dan bukan dihantar ke negara lain.
Justeru, katanya, Jabatan Imigresen menyangkal dakwaan sebuah portal berita bahawa beliau telah dilayan dengan buruk semasa menunggu urusan penghantaran ke Bali.
Natalie pada tahun ini pernah ditahan semasa menyertai protes yang dianjurkan kumpulan pendesak alam sekitar Himpunan Hijau di pintu masuk loji nadir bumi milik Lynas Corporation di Zon Perindustrian Gebeng di Kuantan, Pahang.