Tokyo – Jepun dikejutkan dengan tindakan dua budak perempuan yang hanya berusia 11 dan 12 tahun, yang telah membunuh diri bersama-sama selepas terjun dari tingkat tujuh atau lapan sebuah bangunan apartment.
Kedua-dua budak sekolah rendah itu juga meninggalkan kasut mereka bersebelahan dan sekeping nota. Bagaimanapun polis tidak mendedahkan kandungan nota berkenaan kerana ia adalah peribadi dan ditujukan kepada ibu bapa mereka.
Menurut polis, budak perempuan berusia 11 tahun itu menetap bersama keluarganya di bangunan apartmen yang menjadi tempat mereka terjun, sementara rakannya pula tinggal di kawasan berhampiran.
Rakan-rakan budak-budak tersebut dilaporkan terkejut dengan kejadian itu, kerana kedua-duanya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika menghadiri sekolah pada hari Jumaat lalu.
Malah kedua-duanya yang belajar di dalam kelas yang sama disifatkan sebagai bijak dan menjadi ketua dalam kelas.
Kejadian yang menimpa dua kanak-kanak itu menyebabkan seluruh penduduk Jepun terkejut, kerana bagaimana budak tersebut yang mendapat segala-galanya dalam hidup mereka, sanggup mengambil keputusan untuk mati bersama-sama.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan Jepun merupakan negara keempat di dunia yang mempunyai kadar bunuh diri yang tinggi.
Jepun berada di belakang Korea Selatan, Lithuania dan Rusia dengan kebanyakan yang membunuh diri berusia lebih 70 tahun.