PENDANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan untuk mewujudkan lima unit kaunter bergerak 1JPJ di setiap negeri bagi memudahkan penduduk luar bandar berurusan dengan JPJ.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ Datuk Yusof Ayob berkata ketika ini setiap negeri hanya mempunyai satu unit kaunter bergerak dan terhad di kawasan tertentu sahaja.
Beliau berkata JPJ akan menambah kaunter bergerak secara berperingkat sehingga mencapai lima kaunter di setiap negeri bagi memudahkan orang ramai terutamanya penduduk luar bandar berurusan dengan JPJ kerana biasanya pejabat JPJ terletak bandar.
Kaunter bergerak 1JPJ menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan, semakan senarai hitam, pembayaran saman dan pindaan alamat surat menyurat, katanya pada sidang media selepas Program JPJ bersama Rakyat di Kampung Paya Kerchut di sini.
Katanya sehingga Mac lepas terdapat 15 unit kaunter bergerak di seluruh negara selepas perkhidmatan itu diperkenalkan pada 2010. – BERNAMA