NEW YORK- Mahkamah Persekutuan hari ini akan mengumumkan hukuman ke atas menantu Osama bin Laden kerana peranannya sebagai jurucakap al-Qaeda berikutan serangan 11 September 2001.
Sulaiman Abu Ghaith, yang dibicarakan di sini sejak kejadian 11 September itu, akan mengetahui hukuman yang mungkin dikenakan ke atasnya hari ini oleh Mahkamah Persekutuan di Manhattan.
Dia didapati bersalah pada Mac lalu atas tuduhan bersubahat dengan Osama apabila dia menyeru pengikut baru supaya turut menyertai misi bunuh diri seperti 19 orang yang merampas empat jet komersial pada 11 September itu, memetik laporan portal BH Online.
“Rempuhan pesawat tidak akan henti,” kata imam dari Kuwait itu dalam video yang diedarkan pada Oktober 2001 yang ditunjukkan kepada juri.
Selain itu juri juga ditunjukkan video pada 12 September 2001 di mana Sulaiman Abu Ghaith duduk di sebelah Osama dan dua pemimpin tertinggi Al-Qaeda ketika mereka cuba mencari alasan bagi serangan berkenaan.
Ketika membela dirinya sendiri selaku saksi, Sulaiman Abu Ghaith dengan tenang menafikan yang dia melakukan pengambilan rekrut untuk al-Qaeda dan menyatakan peranannya adalah lebih cenderung kepada keagamaan bertujuan menggalakkan Muslim supaya bangkit terhadap penindasan.
Tegasnya, dia bersetuju untuk menemui Osama pada malam serangan 11 September itu kerana menghormatinya sebagai seorang sheikh.
“Saya tidak menemuinya untuk merestuinya kerana membunuh beratus-ratus rakyat Amerika. Saya jumpa dia untuk bertanya apa yang dikehendakinya,” katanya :-MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA